Friday 18 May 2012

Trilogi Ibnu Al-Qayyim


Penyakit dan Ubatnya

Ibnu Al-Qayyim mengatakan,

"Sesungguhnya dalam hati ada robekan yang tidak dapat dijahit kecuali menghadap sepenuhnya kepada Allah. Dalamnya juga ada keterasingan yang tidak mampu diubati kecuali menyendiri bersama Allah. Ada juga kesedihan yang tidak mampu diseka oleh kebahgiaan yang tumbuh kecuali mengenal Allah dan ketulusan berinteraksi dengan-Nya. Ada kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali berhimpun kerana Allah dan meninggalkan kegelisahan itu menuju-Nya. Dalam hati juga ada gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan dan keputusan Allah yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran hingga tiba saat perjumpaan dengan-Nya."

Dalam kehidupan kita, kadang kala kita diuji oleh perkara yang diluar sangkaan kita. Contohnya, kita kematian ahli keluarga kita. Semestinya kita merasa sedih, lagi-lagi apabila kita kehilangan seorang ibu. Kita takkan dapat pulih dari kesedihan itu melainkan kita menerima bahawa Allah menciptakan manusia hanya sementara. Tiada yang abadi kecuali Allah. Segala-galanya akan kembali kepada-Nya. Allah berfirman dalam surah A-li 'Imran [3 : 185],

A185

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Pancaran Hati

"Bergantunglah kepada Allah ketika orang lain bergantung kepada dunia. Bergembiralah kerana Allah ketika orang lain bergembira kerana dunia. Berbahagialah dengan Allah ketika orang lain berbahagia bersama kekasih-kekasih mereka. Akhir sekali, cintailah Allah dengan sebenar-benar cinta ketika orang lain menghadap para raja dan pembesar untuk mengais harta dan cinta mereka."

Kita seharusnya bergantung kepada Allah. Yakin bahawa Allah akan memberi kebahagiaan kerana Allah adalah Al-Rahim (Maha Penyayang), Al-Wahhab (Maha Pemberi) dan Al-Baqi (Maha Kekal).

Perindu Syurga

Ibnu Al-Qayyim juga mengetengahkan satu trilogi sikap dengan begitu indah. Beliau mengatakan,

"Jangan sesekali putus asa untuk teguh menunggu gerbang meski engkau terusir. Jangan sesekali berhenti memohon ampun meskipun ditolak. Apabila gerbang terbuka, segeralah masuk seperti tamu yang tidak diundang. Kemudian tadahkan tanganmu dan katakanlah, 'Tolonglah, saya adalah orang yang miskin. Bersedekahlah untuk saya...!"

Mari kita selami maknanya. Kita ingin menangis ketika solat tetapi tidak boleh. Kita ingin meraih kekhusyukkan solat tetapi kita tidak tahu bagaimana caranya. Namun jangan berhenti memohon ampun meskipun ditolak! Ingat, mungkin Allah ingin menguji kita. "Apabila gerbang terbuka, segeralah masuk seperti tamu yang tidak diundang." Ada pengajian di masjid atau ceramah agama dikampus (sekiranya tiada apa yang menghalang), pergilah bersama para jemaah, teruslah bersama orang-orang yang rajin membaca dan merenungi Al-Quran. 



Sumber : Menjemput Roh Ibadah
             Al-Quran

Thursday 10 May 2012

Solat


Al-Arifbillah Hatim Al-Isham pernah ditanya tentang solatnya. Dia menjawab,

"Apabila waktu solat tiba, aku berwudhu' dengan sempurna dan menghampiri tempat aku akan mengerjakan solat. Aku pun duduk disana hingga seluruh tubuhku tertumpu. Kemudian aku pun bersolat dengan menjadikan Kaabah seolah-olah di hadapanku, ash-shirath dibawah kakiku, syurga dikananku, neraka dikiriku dan malaikat maut dibelakangku. Aku menganggap solat ini sebagai solat terakhirku. Kemudian aku mengerjakannya dalam nuansa antara raja' (harap) dan khauf (cemas). Aku bertakbir sepenuh mungkin dan membaca lantunan ayat Al-Quran dengan tartil (teratur dan tertib), kemudian ruku' dengan tawadhu' dan bersujud penuh khusyuk.
Selanjutnya aku duduk diatas kaki kiri dengan menjulurkan telapak kaki kanan di atas ibu jari. Aku pun mengakhiri solat tersebut dengan rasa ikhlas. Tetapi aku tidak tahu apakah solat itu diterima atau tidak."

Sumber : Menjemput Roh Ibadah

Wednesday 9 May 2012

Muthmainnah



Di dalam buku Wahyul Qalam, Ar-Rafi mengatakan,

"Muslim yang memberikan fokus dalam niatnya ketika solat akan merasakan dirinya mampu lari dan mengatasi halangan-halangan dunia tanpa mengira waktu dan ruang. Dia akan mampu menuju alam rohaniah yang akan membuatkannya tidak memikirkan yang lain selain Allah. Inilah saat-saat istimewa dalam urusan hariannya. Dia mengekang setiap nafsu dan keinginanya melalui solat. Dia juga menghancurkan kefanaan jiwa lima kali sehari sehingga mampu merasakan hakikat keabadian. Jiwanya juga semakin hidup dan subur. Itulah solat lima waktu dimana hati bebas dari seluruh isi dunia."

Tiada yang lebih tepat dari sabda Rasulullah s.a.w,

"Pusat kebahagiaanku dijadikan terletak dalam solat."
[HR Muslim]

Beginilah kepekaan seorang muslim mengenai solat. Keutamaan dan kepentingan solat begitu jelas Namun kita masih belum merasakan maknanya malah menganggapnya sesuatu yang berat. Firman Allah,

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."
[Al-Baqarah :45]

Ketika Rasulullah s.a.w sedang duduk di masjid, seorang lelaki masuk dan mengucapkan salam lalu melakukan solat. Setelah selesai, dia pun menghampiri baginda namun baginda bersabda;

"Tunaikanlah solatmu semula kerana engkau masih belum menunaikannya."

Lelaki itu pun solat sekali lagi dan kembali kepada baginda setelah solatnya selesai. Baginda bersabda lagi dengan kata-kata yang sama dan lelaki itu mengulangi semula solatnya. selepas itu beliau kembali kepada baginda. Namun baginda tetap bersabda;

"Tunaikanlah solatmu semula kerana engkau masih belum menunaikannya."

Akhirnya lelaki itu bekata; "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, saya tidak dapat mengerjakan yang lebih baik dari ini. Ajarkan saya, wahai Rasulullah!"

Baginda pun bersabda;

"Mulakan solatmu dengan takbir, lalu bacalah beberapa potong ayat Al-Quran yang mudah. Kemudian ruku'lah dengan betul dan muthmainnah (tenang), lalu i'tidal hingga engkau betul-betul berdiri. Selepas itu bersujudlah dengan betul dan duduk hingga kamu betul-betul duduk dengan tenang. Kemudian sujudlah semula hingga kamu betul-betul sujud dengan tenang. Biasakan gerakan-gerakan ini dalam setiap (rakaat) solatmu!"
[HR Bukhari]

Sumber : Menjemput Roh Ibadah