Tuesday 14 February 2012

Monolog...


Ramai orang berpandangan
Kita perlu bercinta mengenal pasangan
Tanpa perkenalan, mustahil cinta bertandang
Tanpa percintaan, mustahil keserasian dikesan
Mereka sebenarnya terlepas pandang
Dalam Islam ada taaruf dalam tempoh risik dan bertunang
Yang melibatkan mahram bukan berdua-duaan
Taaruf itulah mendedahkan keserasian
Cuma takrif 'taaruf' dan 'serasi' dalam fikiran manusia berlainan
Islam mengajar manusia taaruf yang ada sempadan
Terpelihara dan terjaga dari kemaksiatan
Bukan taaruf melalui bercinta sakan
Islam mengajar serasi dengan ajaran Tuhan
Bukan serasi dengan kehendak pasangan
Cinta Ar Rahman menjana kebahagiaan
Lantaran itulah batasan-Nya tidak boleh dipermainkan...

dakwat hatiku terus memahat kata-kata...

"teguhkan hatiku mendidik nafsuku
lembutkan hatiku menerima takdir-Mu
kuinginkan kemuliaan abadi
kemahsyuran hakiki
bukan yang tiada erti
bukan yang dimurkai Ilahi
Bukan di dunia ini
tapi di Taman Syurgawi
Inginku kekal sebagai Bidadari..."

Thursday 9 February 2012

Contohilah mereka..



"Manusia itu adalah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), lalu Allah mengutus para nabi, untuk memberi khabar gembira dan peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan kebenaran, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Dan tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana adanya kedengkian di antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang-orang beriman kepada kebenaran tentang perkara yang ,mereka perselisihkan itu dengan izin-Nya. Dan Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus"
[ Al- Baqarah : 213]

Ayat yang mulia tersebut memberi isyarat kepada manusia bahawa mereka itu asalnya berada di atas petunjuk dan di atas agama yang benar, tetapi mereka saling berselisih, saling menyangka, berbuat kerosakan di muka bumi dan melampaui batas dari jalan yang lurus. Lalu Allah mengutus para nabi kepada mereka dengan membawa khabar gembira dan memberi amaran dan peringatan.

"(Mereka Kami utus) sebagai rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi amaran (peringatan) supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
[An Nisa' : 165]

Kita sedia maklum bahawa setiap rasul diutuskan adalah untuk menyelamatkan umat dan kaumnya daripada kegelapan dan kesesatan. Nabi dan Rasul adalah manusia pilihan. Allah swt telah memilih hamba-hambaNya supaya mereka menjadi contoh teladan untuk kesempurnaan dan kecemerlangan, pembawa suluh sinar terang, pemimpin untuk mengatur tamadun dan peradaban manusia sepanjang zaman dan bergantinya masa..

Persoalannya..
adakah kita sebagai manusia tergerak hati untuk mencontohi mereka.. 
adakah kita menghayati kisah mereka dan mengambil pengajaran..
adakah kita mengenal mereka...

sekiranya jawapan kita 'tidak' masih belum terlambat untuk mengenali mereka..
masih belum terlambat untuk menghayati kisah hidup mereka..
masih belum terlambat...




Thursday 2 February 2012

Zaid Ibn Khattab


Pejuang Perang Yamamah


Perang Yamamah telah berlaku pada bulan Disember tahun 632 Masihi di Yamamah ketika pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin yang pertama iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Perang ini berlaku ekoran penentangan yang dilakukan oleh Musailamah Al-Kadzab, seorang nabi palsu yang berpusat di Yamamah terhadap pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin. Perang ini juga lebih dikenali sebagai perang yang memerangi golongan murtad dan nabi palsu.

Rajjal bin 'Unfuwah menawarkan diri untuk kembali kepada kaumnya sebagai utusan Saidina Abu Bakar dengan tujuan untuk menyeru kembali kaumnya kepada Islam. Tetapi, setelah melihat ramai penduduk Yamamah telah bergabung dengan Musailamah, Rajjal rela menjual keislamannya dan menjadi salah seorang daripada mereka. Jiwa khianat Rajjal berbisik bahawa pasukan pimpinan Musailamah pasti menang tatkala menyaksikan jumlah mereka yang sangat banyak. Lantas, dia bergabung ke barisan Al-Kadzab (si penipu), Musailamah.

Jika dibandingkan dengan Musailamah, Rajjal jauh lebih berbahaya kerana dia telah meyalahgunakan keislamannya yang lalu dengan detik-detik hidupnya bersama Rasullulah SAW untuk mengukuhkan lagi dakwaan palsu bahawa Musailamah merupakan seorang nabi yang benar. Jumlah pengikut Musailamah semakin bertambah selepas tersebarnya berita palsu yang dibawa oleh Rajjal.

Rajjal mengada adakan berita menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda :

"Nabi menjadikan Musailamah bin Habib sebagai rakan. 
 Maka setelah Rasul wafat, orang yang paling berhak membawa
bendera kenabian ialah Musailamah"

Perbuatan  Rajjal tersebut mengundang kemarahan orang-orang Islam di Madinah. Rajjal yang diharapkan sebagai utusan mambawa kebenaran, berpaling tadah memburukkan lagi keadaan. Maka, perang sudah tidak dapat dielakkan bagi menangani masalah nabi palsu.

Zaid bin Khattab yang merupakan abang sulung Saidina Umar Al-Khattab berazam kuat untuk berjumpa Rajjal dengan harapan bahawa beliau dapat membunuh Rajjal, si pengkhianat Islam itu. Dengan keimanan yang tinggi kepada Allah dengan berbekalkan semangat jihad yang jitu, Zaid mempersiapkan diri untuk berperang dalam Perang Yamamah. Bukan Musailamah yang menjadi sasarannya tetapi seorang manusia yang lebih kejam dan berbahaya iaitu Rajjal bin 'Unfuwah.

Dalam Perang Yamamah, sebagai pandangan panglima perang, Khalid Al Walid membahagikan pasukan Islam kepada beberapa regu yang mempunyai tugas masing masing manakala bendera Islam diserahkan kepada Zaid bin Khattab. Ramai tentera Islam yang gugur syahid ketika mengasak pasukan musuh. Apabila mental dan semangat juang tentera Islam semakin merundum, Zaid bin Khattab lantas mendaki ke sebuah tempat yang agak tinggi lalu menyeru pasukan Islam dengan berkata, 

"wahai saudara saudaraku,
jangan gentar ! Gempur musuh !
Serang mereka habis habisan !
Demi Allah, aku tidak akan berkata-kata
lagi sebelum mereka dibinasakan Allah atau
aku menemui-Nya dan menyampaikan
alasan-alasanku..."

Kemudian Zaid turun dan meneruskan perjuangannya sehingga titisan darah yang terakhir. Dalam lautan manusia yang sedang berperang, Zaid nekad ingin mendapatkan si durjana, Rajjal. Beliau mara dan menerobos barisan musuh tanpa gentar walaupun berkali kali terhempas ke tanah. Akhirnya manusia yang sejak awal beliau cari di depan mata. Lantas, Zaid bin Khattab memenggal kepala Rajjal yang penuh tipu muslihat itu.

Bendera pasukan musuh mulai berjatuhan tatkala orang kuat Musailammah, Rajjal bin 'Unfuwah jatuh tersungkur ke bumi. Oleh itu Musailamah mulai bimbang dan curiga kerana dia telah menjanjikan kemenangan dalam perang tersebut dan ingin memerintah serta menyebarkan agama bersama sama Rajjal bin 'Unfuwah dan Muhkam bin Thufail mengikut acuan mereka sendiri. Dengan kematian Rajjal, berita  tentang kenabian Musailamah semakin memudar dan kebohongan Musailamah jelas rekaan semata mata. Pasukan nabi palsu semakin menjadi lemah.

Ketika mengetahui tewasnya Rajjal, semangat jihad pasukan Islam kembali berkobar kobar termasuk mereka yang sudah berada diambang maut. Mereka sangat berharap agar Allah memberikan kekuatan untuk kembali menentang musuh Allah dan Rasul dan meyaksikan sendiri dengan mata mereka kemenangan yang berpihak kepada umat Islam. 

Zaid bin Khattab bersyukur kepada Allah atas nikmat dan pertolongan yang Allah kirimkan kepada tentera Islam. Beliau kembali bertempur yang mana kemenangan sudah semakin berpihak kepada tentera Islam. Zaid yang selama ini inginkan syahid terus mara dan menerobos barisan pasukan musuh dan menghayunkan pedangnya untuk mengejar cita-citanya mati syahid. Ketika rindunya semakin membuak buak untuk mencium wangian angin syurga yang Allah hembus, dengan kuasa Allah akhirnya pahlawan Islam Zaid bin Khattab gugur syahid dijalan Allah.

Pasukan tentera Islam pulang ke Madinah dengan membawa berita kemenangan disambut oleh Khalifah Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Walaupun tentera musuh yang berjumlah 40,000 orang, namun itu tidak menjanjikan apa-apa kerana dengan kekuatan seramai 13,000 tentera Islam mampu menjulang kemenangan dalam Perang Yamamah..


Allah telah berfirman dalam Surah Al Anfaal ayat ke 66

"Wahai Nabi (Muhammad) ! Kobarkan semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar diantara kamu niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang orang kafir itu adalah orang yang tidak mengerti"

Mereka tidak mengerti bahwa berperang itu haruslah untuk membela keyakinan dan menaati perintah Allah. Mereka berperang semata mata mempertahankan tradisi jahiliah dan maksud maksud duniawi yang lain....

Sumber:
Sinergi Edisi ke-6
Al-Quran