Wednesday 9 May 2012

Muthmainnah



Di dalam buku Wahyul Qalam, Ar-Rafi mengatakan,

"Muslim yang memberikan fokus dalam niatnya ketika solat akan merasakan dirinya mampu lari dan mengatasi halangan-halangan dunia tanpa mengira waktu dan ruang. Dia akan mampu menuju alam rohaniah yang akan membuatkannya tidak memikirkan yang lain selain Allah. Inilah saat-saat istimewa dalam urusan hariannya. Dia mengekang setiap nafsu dan keinginanya melalui solat. Dia juga menghancurkan kefanaan jiwa lima kali sehari sehingga mampu merasakan hakikat keabadian. Jiwanya juga semakin hidup dan subur. Itulah solat lima waktu dimana hati bebas dari seluruh isi dunia."

Tiada yang lebih tepat dari sabda Rasulullah s.a.w,

"Pusat kebahagiaanku dijadikan terletak dalam solat."
[HR Muslim]

Beginilah kepekaan seorang muslim mengenai solat. Keutamaan dan kepentingan solat begitu jelas Namun kita masih belum merasakan maknanya malah menganggapnya sesuatu yang berat. Firman Allah,

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."
[Al-Baqarah :45]

Ketika Rasulullah s.a.w sedang duduk di masjid, seorang lelaki masuk dan mengucapkan salam lalu melakukan solat. Setelah selesai, dia pun menghampiri baginda namun baginda bersabda;

"Tunaikanlah solatmu semula kerana engkau masih belum menunaikannya."

Lelaki itu pun solat sekali lagi dan kembali kepada baginda setelah solatnya selesai. Baginda bersabda lagi dengan kata-kata yang sama dan lelaki itu mengulangi semula solatnya. selepas itu beliau kembali kepada baginda. Namun baginda tetap bersabda;

"Tunaikanlah solatmu semula kerana engkau masih belum menunaikannya."

Akhirnya lelaki itu bekata; "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, saya tidak dapat mengerjakan yang lebih baik dari ini. Ajarkan saya, wahai Rasulullah!"

Baginda pun bersabda;

"Mulakan solatmu dengan takbir, lalu bacalah beberapa potong ayat Al-Quran yang mudah. Kemudian ruku'lah dengan betul dan muthmainnah (tenang), lalu i'tidal hingga engkau betul-betul berdiri. Selepas itu bersujudlah dengan betul dan duduk hingga kamu betul-betul duduk dengan tenang. Kemudian sujudlah semula hingga kamu betul-betul sujud dengan tenang. Biasakan gerakan-gerakan ini dalam setiap (rakaat) solatmu!"
[HR Bukhari]

Sumber : Menjemput Roh Ibadah

No comments:

Post a Comment