Friday 18 May 2012

Trilogi Ibnu Al-Qayyim


Penyakit dan Ubatnya

Ibnu Al-Qayyim mengatakan,

"Sesungguhnya dalam hati ada robekan yang tidak dapat dijahit kecuali menghadap sepenuhnya kepada Allah. Dalamnya juga ada keterasingan yang tidak mampu diubati kecuali menyendiri bersama Allah. Ada juga kesedihan yang tidak mampu diseka oleh kebahgiaan yang tumbuh kecuali mengenal Allah dan ketulusan berinteraksi dengan-Nya. Ada kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali berhimpun kerana Allah dan meninggalkan kegelisahan itu menuju-Nya. Dalam hati juga ada gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan dan keputusan Allah yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran hingga tiba saat perjumpaan dengan-Nya."

Dalam kehidupan kita, kadang kala kita diuji oleh perkara yang diluar sangkaan kita. Contohnya, kita kematian ahli keluarga kita. Semestinya kita merasa sedih, lagi-lagi apabila kita kehilangan seorang ibu. Kita takkan dapat pulih dari kesedihan itu melainkan kita menerima bahawa Allah menciptakan manusia hanya sementara. Tiada yang abadi kecuali Allah. Segala-galanya akan kembali kepada-Nya. Allah berfirman dalam surah A-li 'Imran [3 : 185],

A185

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Pancaran Hati

"Bergantunglah kepada Allah ketika orang lain bergantung kepada dunia. Bergembiralah kerana Allah ketika orang lain bergembira kerana dunia. Berbahagialah dengan Allah ketika orang lain berbahagia bersama kekasih-kekasih mereka. Akhir sekali, cintailah Allah dengan sebenar-benar cinta ketika orang lain menghadap para raja dan pembesar untuk mengais harta dan cinta mereka."

Kita seharusnya bergantung kepada Allah. Yakin bahawa Allah akan memberi kebahagiaan kerana Allah adalah Al-Rahim (Maha Penyayang), Al-Wahhab (Maha Pemberi) dan Al-Baqi (Maha Kekal).

Perindu Syurga

Ibnu Al-Qayyim juga mengetengahkan satu trilogi sikap dengan begitu indah. Beliau mengatakan,

"Jangan sesekali putus asa untuk teguh menunggu gerbang meski engkau terusir. Jangan sesekali berhenti memohon ampun meskipun ditolak. Apabila gerbang terbuka, segeralah masuk seperti tamu yang tidak diundang. Kemudian tadahkan tanganmu dan katakanlah, 'Tolonglah, saya adalah orang yang miskin. Bersedekahlah untuk saya...!"

Mari kita selami maknanya. Kita ingin menangis ketika solat tetapi tidak boleh. Kita ingin meraih kekhusyukkan solat tetapi kita tidak tahu bagaimana caranya. Namun jangan berhenti memohon ampun meskipun ditolak! Ingat, mungkin Allah ingin menguji kita. "Apabila gerbang terbuka, segeralah masuk seperti tamu yang tidak diundang." Ada pengajian di masjid atau ceramah agama dikampus (sekiranya tiada apa yang menghalang), pergilah bersama para jemaah, teruslah bersama orang-orang yang rajin membaca dan merenungi Al-Quran. 



Sumber : Menjemput Roh Ibadah
             Al-Quran

No comments:

Post a Comment